Apabila kita bercerita tentang Generasi Z mungkin ramai yang membayangkan kumpulan orang muda ini sekadar memberi tumpuan kepada media sosial dan hiburan semata. Namun, padangan ini sebenarnya jauh dari realiti. Di sebalik budaya digital yang mereka kuasa sebenarnya terdapat potensi untuk kumpulan ini miliki kuasa ekonomi yang luar biasa. Tahukah anda menjelang tahun 2030, kuasa beli Gen Z dijangka mencapai $12.6 trilion secara global. Angka ini bukan sekadar nombor namun ia adalah cerminan bagaimana sesebuah generasi mampu mengubah landskap pasaran dan bagaiaman kumpulan ini miliki pengaruh yang lebih besar berbanding generasi lain.
Siapa Gen Z?
Secara umumnya, Gen Z adalah individu yang lahir sekitar 1997 sehingga 2012. Berbeza dengan generasi sebelumnya, kumpulan ini digelar generasi digital native – iaitu penduduk yang lahir dan membesar pada era internet, media sosial dan peranti pintar. Jika dahulu kita lihat teknologi sekadar alat sokongan namun kumpulan ini menakrifkan ia sebaliknya iaitu teknologi adalah sebahagian darpada kehidupan mereka. Pengalaman itu secara langsung membentuk cara pemikiran, interasi dan cara pengurusan wang dibelanjakan.
Lebih menarik, kumpulan ini menjadi antara generasi yang membesar dengan pelbagai peristiwa besar – tidak hanya krisis ekonomi mahupun perubahan iklim bahkan krisis kesihatan. Dengan pengalaman itu, ia sekaligus membawa kepada mereka selaku pengguna yang berhati-hati dalam melaksanakan keputusan serta mengutamakan nilai tertentu pada setiap tindakan.

Saiz Kumpulan Yang Besar = Pengaruh Ekonomi Besar
Kenaikan ekonomi Gen Z sebahagian besarnya didorong oleh saiznya yang sangat besar. Data World Data Lab dibawah laporan NieselQ menunjukkan kumpulan ini menjadi satu-satunya generasi yang akan mencapai populasi 2 bilion orang, iaitu kira-kira satu perempat daripada jumlah populasi global.
Dengan memiliki saiz kumpulan yang besar dan terus meningkat secara berkala – ia sekaligus membawa kepada peningkatan kuasa perbelanjaan Gen Z di pasaran global. Ini bermakna lebih banyak aspek ekonomi akan dibentuk oleh amalan pengguna Gen Z. Aliran ini turut diakui berdasarkan landskap Gen Z di Malaysia di bawah tinjauan VISA minggu ini – yang menjelaskan 61% Gen Z Malaysia miliki pengurusan kewangan yang cekap dengan 53% Gen Z turut akui telah mula melabur pada arena emas dan mata wang digital!

56% Perbelanjaan Gen Z Tertumpu Pada Pasaran Negara Membangun
Dahulu, ekonomi global didominasi oleh perbelanjaan dari negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat dan Eropah. Namun, dengan kemunculan Gen Z, trend ini sedang beralih. Gen Z adalah generasi pertama di mana perbelanjaan mereka datang kurang daripada separuh dari negara-negara Barat, iaitu hanya sekitar 44%. Ini bermakna kuasa beli yang sangat besar kini berpusat di luar pasaran tradisional. Negara-negara sedang membangun, terutamanya di Asia seperti India, China, dan Asia Tenggara, mempunyai populasi Gen Z yang sangat besar. Pertumbuhan ekonomi yang pesat di rantau ini, digabungkan dengan saiz populasi mereka, menjadikan mereka pemain utama yang tidak boleh diabaikan dalam membentuk hala tuju ekonomi dunia.
Kenyataan ini sekaligus membawa perubahan kepada cara syarikat global beroperasi. Jenama-jenama antarabangsa tidak lagi sekadar fokus kepada pasaran Barat semata untuk berkembang. Mereka kini perlu menyesuaikan strategi pemasaran dan produk mereka untuk memenuhi keutamaan dan nilai Gen Z di rantau Asia. Misalnya, platform seperti TikTok yang sangat popular di Asia Tenggara dan China telah mula menjadi alat sokongan penting untuk generasi ini. Kuasa beli dari pasaran-pasaran ini bukan sahaja akan memacu pertumbuhan ekonomi tempatan, tetapi juga akan mempengaruhi trend dan permintaan di peringkat global, menjadikan Gen Z dari negara-negara membangun sebagai penggerak utama dalam perbelanjaan dunia.

Kesimpulannya pengaruh Gen Z pada ekonomi global ini tidak sekadar ramalan semata susulan ia didasari akan pelbagai aspek seperti cara manfaat teknologi, tindakan mengutamakan nilai sosial, laksana pemantauan pada pengurusan wang serta menjadi generasi yang miliki akses maklumat yang luas pada pasaran. Kesemua faktor ini sekaligus membentuk kumpulan ini tidak sekadar pengguna dan pembeli tetapi kumpulan yang menakrifkan kembali permintaan ekonomi di pasaran global.