Artikel

VISA: 61% Gen Z Didapati Cekap Urus Perbelanjaan – Kekal Miliki Simpanan Tatkala Manfaatkan Akses Pintar

Kajian Visa Malaysia kini mendedahkan 7.7 juta penduduk Malaysia yang berusia antara 14 tahun sehingga 27 tahun (Generasi Z) dilihat memiliki tabiat berbelanja yang lebih teratur, di mana lebih berhati-hati walaupun gemar memanfaatkan sokongan teknologi.

Kumpulan penduduk yang mewakili 23% daripada populasi menyeluruh Malaysia ini pada tinjauan laporan Malaysian Gen Z Decoded dilihat akan menjadi kumpulan yang menakrifkan semula amalan aliran perdagangan dan budaya di Malaysia. Di mana 61% Gen Z mengakui telahpun mengambil langkah aktif dalam pengurusan kewangan – dengan sentiasa menjejaki aliran perbelanjaan dan mengamalkan tabiat berbelanja yang lebih berhemah untuk elak daripada melakukan pembelian spontan! Lebih menarik, kumpulan ini turut laksana pekerjaan sampingan untuk meraih pendapatan tambahan.

Selain penerapan mengurus kewangan, 35% Gen Z turut menabung untuk perbelanjaan besar, sedia dana kecemasan (33%), merancang persaraan (32%) dan 53% Gen Z juga akui telah mula melabur pada arena emas dan mata wang digital. Langkah itu secara jelas menunjukkan keterbukaan mereka unuk memanfaatkan medium pelaburan sebagai saluran mengukuhkan aset simpanan.

Melihat pada tabiat kewangan Gen Z yang baik ini, Visa mendapati displin tersebut disokong hasil dorongan keluarga. Kebanyakan responden menyatakan tabiat kewangan tersebut seperti menabung elaun dan mengutamakan keperluan berbanding kehendak dipelajari secara langsung daripada ibu bapa mereka. Dengan hasil didikan di usia muda, ia dapat membentuk pengurusan kewangan yang lebih baik untuk generasi masa hadapan.