Untuk pastikan arena ekonomi digital Malaysia kekal mengikuti aliran semasa, tidak lama lagi pentadbiran negara akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) e-Dagang di Parlimen sekitar akhir 2025 ini.
Jangkaan itu menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh, menjawab pada persoalan Rnggt pada sidang pra pelancaran Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 minggu lalu – pihak negara telah melaksanakan pelbagai persediaan rangka meliputi fokus perundangan, tindakan kawal selia dan penanda aras yang wajar dipenuhi, maka dengan persiapan itu pihaknya optimis draf RUU ini berupaya dibentangkan pada akhir tahun ini.
Keperluan perundangan ini penting susulan perubahan ekosistem e-dagang di peringkat antarabangsa sentiasa mengalami peningkatan yang drastik. Oleh itu, pentadbiran Malaysia harus lebih tangkas dalam membentuk suatu perundangan bagi memastikan perlindungan pengguna dan peniaga kekal terpelihara selari dengan risiko ekonomi digital semasa.
Dengan sokongan itu, ia sekaligus dapat memanfaatkan pertumbuhan ekonomi digital di pasaran ASEAN yang berpotensi melonjak – sebagaimana ditinjau laporan e-Conomy SEA 2024 Google mendapati arena ini berupaya mencapai $1 trilion menjelang 2030 kelak dengan e-dagang jadi antara medium yang paling pesat berkembang.