Selari dengan mandat Kepengerusian Malaysia dalam sidang ASEAN pada tahun ini, Malaysia memaklumkan bakal menjadi tuan rumah Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 (ASEAN E-Commerce Conference 2025) yang akan berlangsung pada 24 hingga 25 November 2025 di Grand Hyatt, Kuala Lumpur.
Bertemakan ASEAN E-Commerce Transformation: Bridging Gaps, Enhancing Competitiveness yang sidang pertama ini akan menampilkan pelbagai pemain ekonomi merentasi penggubal dasar, agensi-agensi kawal selia, pemain-pemain industri dan usahawan dalam talian dari seluruh negara ASEAN bagi membincangkan hala tuju strategik transformasi e-dagang serantau yang dinamik dan berdaya saing. Persidangan ini turut disokong oleh pemain-pemain industri e-dagang terkemuka dalam negara seperti Shopee, Lazada, TikTok Shop, Mudah.my dan Carousell serta penaja bersama yang lain.
Dengan jangkaan penglibatan sehingga 500 peserta meliputi wakil negara ASEAN, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan usaha sidang berupaya memberi manfaat kepada pemain e-dagang serantau untuk lebih memahami keperluan ekosistem, peniaga dan pengguna pada pasaran semasa serta di masa hadapan.
Selain pengukuhan hubungan serantau, medium ini dilihat berupaya menjadi platform untuk memperkukuhkan dialog antara industri dan pengawal selia, serta membina ekosistem inklusif di mana semua, daripada platform global hingga PMKS luar bandar mampu berkembang.