Artikel

Penyertaan Wanita Dalam Ekonomi Perlu Ditingkatkan, Atasi Isu Kemiskinan Di Malaysia – MTUC, MEF

Mengikut data Jabatan Perangkaan (DOSM) pada 2024 di bawah kajian KRI, sekitar 3 juta wanita menyatakan pilihan menjadi suri rumah adalah susulan perlu mengfokuskan kepada tanggungjawab keluarga dan urusan kerja rumah mereka berbanding hanya 85,200 lelaki yang memberikan sebab yang sama.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) melihat ketidakseimbangan ekonomi di pasaran berpotensi berlaku sekiranya lebih ramai wanita memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa dan situasi itu secara langsung menjadikan kebergantungan pendapatan isi rumah akan menjadi lebih kecil.

Keadaan ini menurut laporan MTUC, berupaya membawa kepada kadar kemiskinan yang lebih tinggi di pasaran Malaysia. Secara jelas isu ini tidak sekadar tertumpu kepada kemiskinan semata, perihal ini lebih luas menunjukkan masih banyak isu kebajikan yang wajar ditambah-baik untuk mengatasinya.

Semua pihak perlu sedari peluang ekonomi di Malaysia secara dasarnya lebih terbuka kepada penyertaan tenaga kerja lelaki. Malah budaya meletakkan tanggungjawab pengurusan keluarga ke atas kumpulan wanita turut menjadi faktor utama – yang mencorak keputusan wanita bekerja untuk menjadi suri rumah sepenuh masa. Untuk makluman, data tahun lalu menunjukkan kadar penyertaan tenaga kerja lelaki yang telah berkahwin mewakili 91.8% berbeza dengan wanita 59.7%.

Perbezaan ini jelas mencerminkan beban tanggungjawab keluarga tidak seimbang – lebih membebankan ke atas wanita, yang sekaligus menjejaskan keupayaan mereka untuk bekerja. Dan walaupun wanita kekal bekerja, 76.2% tanggungjawab tugas menjaga keluarga kekal digalas oleh mereka mengikut data dobiQueen (2024).

Selain MTUC, pihak Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) turut beranggapan penyertaan ekonomi wajar diperluas secara seimbang untuk wanita dan lelaki. Persekitaran semasa menunjukkan lebih ramai lelaki mendominasi sektor pekerjaan, dinamik itu tidak sekadar menunjukkan negara kerugian dalam memiliki pekerja yang lebih produktif tetapi turut membawa kepada kekurangan kepelbagaian idea dan inovasi untuk dimanfaatkan dalam pasaran. Perihal ini yang harus diatasi pentadbiran negara dan pemain industri.

Di mana menuntut sokongan sosial yang lebih besar sekiranya ingin wanita kembali bekerja di pasaran negara. Menurut kajian Kementerian Wanita, terdapat 52.8% wanita yang berstatus suri rumah memiliki hasrat untuk bekerja dan 71% daripada jumlah itu adalah kumpulan wanita yang pernah bekerja. Akan tetapi selain kesukaran mendapatkan peluang pekerjaan, faktor keluarga terus mengekang hasrat itu untuk direalisasikan.