Perubahan dinamik ekonomi semasa secara langsung telah memberi kesan yang mendalam kepada golongan wanita, khususnya peranan mereka dalam era ketika ini. Di mana tidak hanya tertumpu kepada institusi keluarga bahkan meningkatkan lagi sumbangan mereka dalam struktur ekonomi negara.
Ini dapat diperlihat apabila 52% daripada graduan pendidikan tertiari di Malaysia adalah kalangan golongan wanita. Secara jelasnya angka ini menterjemah kualiti wanita pada pasaran negara adalah di tahap tertinggi. Namun masih terdapat kekangan yang perlu diatasi wanita negara apabila didapati hanya 37.7% daripadanya terlibat mewakili pasaran tenaga kerja.
Jumlah itu menurut tinjauan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), MIASA dan dobiQueen pada sidang Peranan Wanita dalam Masyarakat: Menangani Ketidakadilan Gender, Beban Berganda & Kesejahteraan Mental di Malaysia hari ini – antaranya didorong akan peranan wanita yang lebih besar dalam penjagaan keluarga, secara langsung memberi kesan pada penyertaan mereka dalam aktiviti ekonomi negara.
Tahukah anda setakat 2018, wanita didapati perlu menggalas 76.2% tugas penjagaan keluarga berbanding lelaki 23.8%? Sebagai perincian wanita dianggarkan melakukan 5 kali lebih banyak kerja penjagaan rumah tanpa gaji berbanding lelaki – ia merangkumi hal pembersihan, pengasuhan sehinggalah penyediaan makanan.
Disebabkan tanggungjawab ini, sekitar 62.1% wanita di luar tenaga buruh menganggap kerja rumah dan tanggungjawab keluarga adalah faktor yang mendorong mereka untuk tidak bekerja.
Susulan bebanan tersebut, maka tidak hairanlah mengapa 75% golongan wanita di Lembah Klang memanfaatkan akses dobi – supaya dapat memudahkan tugasan mereka di samping memberi penjimatan masa. Pada tinjauan dobiQueen baru-baru ini mendapati majoriti demografi penggunanya adalah 50% wanita bekerja sepenuh masa dan 50% lagi berstatus suri rumah.
Meskipun kemudahan sebegini adalah kecil peranannya namun impaknya ke atas pengguna adalah besar. Berikutan ia tidak sekadar memudahkan dan meringankan bahkan mengurangkan lagi tekanan sebahagian wanita dalam aturan pengagihan tugas mereka secara berkala dalam kehidupan seharian.
Selain kemudahan tersebut, masih banyak lagi inisiatif dan polisi yang perlu diperluaskan pentadbiran negara bagi mengatasi cabaran kesaksamaan jantina di Malaysia selari dengan agenda di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menuntut penyertaan wanita dalam politik, ekonomi dan sosial lebih saksama menjelang 2030.