Tindakan India melarang aliran eksport beras bukan basmati berlaku pada Julai lalu, dilihat secara langsung membuka peluang yang lebih besar kepada pengeksport beras kedua terbesar dunia iaitu Thailand. Di mana melalui kapasiti pengeluaran yang mencukupi, Thailand menjamin tiada sebarang sekatan eksport beras akan dilaksanakan.
Namun semua pihak perlu sedari, kesan sekatan eksport yang telah dilaksanakan India ini sekaligus berpotensi menjadikan harga beras global lebih tinggi.
Menurut Kementerian Perdagangan Thailand pada Reuters, tindakan larangan eksport itu secara langsung mengurangkan tahap pengeluaran di peringkat pasaran dan ini membolehkan petani untuk menjual beras pada harga yang lebih tinggi.
Pada tahun ini sahaja, Thailand menggariskan matlamat untuk eksport lebih 8 juta tan metrik dan setakat 7 bulan pertama 2023, sejumlah 4.8 juta tan metrik beras bersama eksport bulanan sehingga 800,000 tan telah dicapai oleh mereka.
Melalui aliran itu, bersama cabaran perubahan cuaca dan konflik perdagangan – Thailand menyasarkan harga pasaran beras ketika ini berkemungkinan meningkat sehingga 20%. Susulan itu, semua negara perlu kekal berjaga akan sebarang risiko kenaikan yang mungkin berlaku kesan ketidaktentuan pasaran serta tekanan inflasi semasa.
Buat pengetahuan umum, India dan Thailand adalah antara sumber import beras negara bagi pasaran Malaysia. Situasi ini secara langsung akan memberi kesan kepada permintaan negara dan pelarasan harga makanan di peringkat pengguna. Selain kedua negara itu, sumber import beras lain adalah Pakistan, Myanmar, Vietnam dan Kemboja