Artikel

India Larang Eksport Beras, Dijangka Pengaruhi Harga Makanan Global

India kini menghentikan tindakan eksport beras bukan basmati dan ia berkuat kuasa serta-merta. Tindakan ini didorong akan ketidaktentuan cuaca telah menjejaskan hasil tanamana dan menimbulkan kebimbangan akan tahap pengeluaran bekalan pasaran mereka.

Malah langkah tersebut adalah sebahagian usaha India untuk memastikan bekalan tempatan kekal mencukupi dan dapat diimbangi dengan meredakan kenaikan harga ke atas pengguna.

Buat pengetahuan, sepanjang bulan lalu didapati harga runcit beras telah meningkat 3% dan meningkat 11% dalam tempoh 12 bulan lalu.

Berikutan tindakan ini, difahamkan ia secara langsung akan memberi kesan kepada aliran eksport beras dunia. Untuk makluman, India menyumbang lebih 40% daripada eksport beras dunia.

Menurut Persatuan Pengeksport Beras pada laporan Reuters, langkah India ini sekaligus akan menganggu pasaran beras global – dan impaknya dijangka jauh lebih besar daripada isu gandum melibatkan Rusia-Ukraine ke atas permintaan global.

Ini kerana beras adalah makanan ruji untuk lebih 3 bilion penduduk dan hampir 90% daripada tanaman intensif air itu dihasilkan di Asia.

Berdasarkan kesan yang dialami, dijangka Malaysia turut berdepan tekanan terbabit susulan India antara sumber import beras negara selain Thailand, Pakistan, Myanmar, Vietnam, dan Kemboja.