Artikel

LHDN Dan Jabatan Kastam Tidak Akan Digabungkan, Kekal Berasingan – MOF

Malaysia ketika ini tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menggabungkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) – bagi tindakan pendekatan satu agensi kutipan cukai (STA). Ini kerana kedua organisasi itu tertakluk kepada peraturan dan akta yang berbeza.

Jelas Kementerian Kewangan (MOF) pada notis lisan Parlimen selaku kementerian yang mengawalselia kedua agensi ini menjelaskan LHDN berperanan selaku badan berkanun yang bertindak mengelola kutipan cukai langsung tatkala Jabatan Kastam iaitu jabatan kerajaan pula berperanan pada kutipan cukai tidak langsung di Malaysia. Dengan dua peranan berbeza ini, kedua agensi kutipan cukai utama negara kekal berkerjasama dalam pelaksanaan penguatkuasaan dan perkongsian maklumat. Maka keperluan menggabungkan kedua peranan ini bukanlah tumpuan utama pentadbiran Malaysia.

Namun MOF akui pendekatan STA bukanlah model percukaian yang baharu tetapi turut diterapkan oleh sebilangan negara lain seperti United Kingdom (UK), New Zealand dan Singapura.