Artikel

SPayLater, AKPK: Lebih 70% Pengguna Jadikan BNPL Satu-Satunya Akses Kredit

Akses Bayar Nanti, Pakai Lekas (BNPL) kini dilihat semakin mengukuhkan kedudukannya selaku instrumen kewangan penting di Malaysia – apabila tinjauan edisi kedua Fikir Sekarang, Bayar Kemudian yang dikendalikan SPayLater dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendedahkan lebih 70% penggunanya menjadikan khidmat ini sebagai satu-satunya pilihan kredit mereka.

Berdasarkan perkongsian data, terdapat peningkatan 15 mata peratusan berbanding tahun 2025 yang menunjukkan BNPL berjaya merapatkan jurang akses kewangan yang sebelum ini sukar ditembusi oleh institusi kredit tradisional. Menariknya tinjaun turut dapati 74% pengguna melihat kemudahan ini sebagai keperluan harian untuk menguruskan perbelanjaan dengan lebih fleksibel.

SPayLater dan AKPK turut melihat melalui pelan pembayaran balik berstruktur tanpa caj faedah berkompaun, pengguna dapat membahagikan kos pembelian berskala besar atau kecemasan seperti pembaikan kenderaan kepada ansuran bulanan yang lebih terkawal. Keberkesanan pendekatan ini terbukti apabila 94% responden berasa lega mempunyai saluran kredit yang telus, manakala lebih 40% lagi memanfaatkannya khusus untuk merancang belanjawan isi rumah. Disiplin pembayaran yang baik dalam kalangan pengguna juga jelas terpancar menerusi data Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) bagi separuh pertama 2026 yang merekodkan kadar tunggakan BNPL pada paras rendah iaitu 3.3%, jauh lebih baik berbanding kadar tunggakan kad kredit sebanyak 3.9%.

Dan jika prestasi itu diteruskan, platform kredit digital ini turut berfungsi sebagai batu loncatan dalam meningkatkan literasi kewangan serta membina rekod kredit bagi golongan yang kurang mendapat perkhidmatan perbankan. Dapatan tinjauan menunjukkan 70% pengguna memahami konsep pemarkahan kredit dan yakin rekod pembayaran BNPL yang konsisten mampu menyokong penilaian kewangan mereka pada masa hadapan. Keyakinan ini turut disokong oleh tahap kesedaran tanggungjawab kewangan yang tinggi, di mana 98% responden mengakui menggunakan kemudahan tersebut secara berhemah.

Tetapi semua pihak perlu akui, jika lebih 70% pengguna BNPL menjelaskan ia menjadi satu-satunya alternatif pilihan kredit – ini bermakna kapasiti kewangan kumpulan ini kekal terhad. Yang jelas menuntut lebih banyak sokongan untuk meningkatkan aliran tunai penduduk Malaysia di pasaran hadapan dan tidak sekadar bergantung kepada BNPL.