PolicyStreet kini bekerjasama dengan foodpanda, menerusi sokongan BlueOrchard, untuk memperkenalkan Perlindungan Pendapatan Iklim (Climate Income Protection), iaitu manfaat baharu yang menyediakan sokongan kewangan kepada rakan penghantar yang layak sekiranya mereka tidak dapat bekerja selepas dipindahkan ke pusat pemindahan sementara akibat banjir.
Tersedia mulai 26 November tanpa sebarang kos, inisiatif ini dimaklumkan bakal memanfaatkan lebih 30,000 rakan penghantar aktif foodpanda. Untuk makluman, skim Perlindungan Pendapatan Iklim ini merupakan lanjutan daripada foodpanda Protect, iaitu perlindungan semasa bertugas sedia ada syarikat tersebut.
Menerusi program rintis ini, rakan penghantar yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara selama 7 hari dan ke atas akibat banjir layak menerima bayaran sekali gus sebanyak RM350, terhad kepada sekali bagi setiap tahun polisi. Bayaran ini bertujuan membantu mengimbangi kehilangan pendapatan mereka sepanjang tempoh bencana.
Lebih memudahkan, rakan penghantar tidak perlu mengemukakan sebarang tuntutan atau dokumen sokongan. Sekiranya berlaku banjir, PolicyStreet akan bekerjasama dengan foodpanda untuk mengenal pasti penunggang yang layak dan telah dipindahkan secara rasmi ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), sebelum bayaran disalurkan terus ke akaun mereka melalui foodpanda.