Artikel

Jurang Pendapatan Rakyat Malaysia Semakin Mengecil – Jadi Rekod Terendah Sejak 1974

Pendapatan sememangnya menjadi antara faktor utama untuk memacu pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Memahami keutamaan itu, kerajaan menegaskan jurang pendapatan rakyat Malaysia kini semakin mengecil dan bukannya melebar, manakala jurang kemiskinan antara kawasan bandar dengan luar bandar pula merekodkan pengurangan sebanyak 17.3% bagi tempoh dua tahun dari 2022 hingga 2024.

Menurut Kementerian Ekonomi pada notis Parlimen, perkembangan positif ini berdasarkan dapatan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan penambahbaikan pada Pekali Gini iaitu indikator utama yang mengukur ketidaksamarataan pendapatan. Pekali Gini menurun daripada 0.404 pada tahun 2022 kepada 0.390 pada tahun 2024, sekali gus mencerminkan agihan pendapatan yang lebih seimbang. Pendapatan penengah bulanan isi rumah turut meningkat 10.7% daripada RM6,338 kepada RM7,017. Pada masa yang sama, insiden kemiskinan mutlak nasional menurun daripada 6.2% kepada 5.1%, manakala kemiskinan tegar berkurang daripada 0.2% kepada 0.09% dalam tempoh sama. Jurang kemiskinan antara bandar dan luar bandar juga mengecil daripada 7.5 kepada 6.2 mata peratusan.

Dari sudut prestasi makroekonomi dan pasaran buruh, ekonomi Malaysia berkembang 5.2% pada tahun 2025 dengan jumlah penduduk bekerja meningkat kepada 17.10 juta orang serta kadar pengangguran kekal rendah pada paras 2.9%. Bagi prestasi pelaburan pula, nilai pelaburan diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 mencecah RM218.5 bilion melibatkan 2,746 projek yang dijangka mewujudkan 99,030 peluang pekerjaan. Daripada jumlah tersebut, pelaburan asing menyumbang 58.1% atau RM126.9 bilion, manakala pelaburan domestik menyumbang 41.9% atau RM91.6 bilion.

Melangkah ke arah tahun 2030, kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan bahagian pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 40% berbanding 33.1% ketika ini. Sasaran tersebut turut disokong oleh usaha mengurangkan kadar kemiskinan mutlak kepada 4.7% serta mengecilkan lagi Pekali Gini kepada 0.386 berbanding 0.390 yang direkodkan pada 2024.