Artikel

Berjaya Food Lepas Operasi Kenny Rogers Roasters Kepada Pelabur UAE, Kekalkan Pegangan 5%

Kesan kerugian berterusan yang membebani prestasi kewangan kumpulan, Berjaya Food (BFood) bertindak melepaskan kawalan operasi rangkaian restoran Kenny Rogers Roasters (KRR) di Malaysia kepada sebuah syarikat usahasama (JVC) baharu, sambil mengekalkan pegangan ekuiti sebanyak 5%.

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, anak syarikat milik penuhnya, Berjaya Roasters (M) Sdn Bhd memeterai perjanjian usaha sama merangkap perjanjian pemegang saham bersama entiti berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) iaitu Samaya Food Investments LLC, Vertix Holdings LLC dan Nabil Shaukat Butt. Dalam struktur JVC bermodal RM8.64 juta itu, Samaya dan Vertix masing-masing memegang 46.5% kepentingan, manakala Nabil Shaukat Butt memegang baki 2% diikuti BFood 5%.

Melalui perjanjian penstrukturan semula tersebut, JVC berkenaan akan mengambil alih tanggungjawab operasi sepenuhnya ke atas restoran KRR di Malaysia, manakala Berjaya Roasters hanya menyediakan khidmat sokongan operasi di bawah perjanjian perkhidmatan perkongsian. Langganan pegangan 5% oleh Berjaya Roasters dilaksanakan melalui sumbangan bukan tunai melibatkan aset berfungsi KRR bernilai RM432,000 setakat 31 Oktober 2026, sementara pemegang saham lain melanggan kepentingan masing-masing secara tunai.

Langkah ini membolehkan Kumpulan BFood mengurangkan komitmen kewangan serta mengoptimumkan semula peruntukan modal ke arah portfolio perniagaan makanan dan minuman (F&B) lain yang lebih berdaya saing.

Walaupun transaksi ini tidak dijangka memberi kesan material terhadap aset bersih dan tahap kadar hutang kumpulan, Berjaya Roasters menganggarkan bakal merekodkan keuntungan pelupusan sebanyak RM4.51 juta, terutamanya hasil daripada penamatan obligasi pajakan yang berkaitan. Penyertaan Samaya yang juga pemegang francais induk dan pengendali KRR di UAE bersama Vertix dan Nabil Shaukat Butt dijangka membawa kepakaran pengurusan serantau baharu bagi memulihkan semula prestasi jenama tersebut di pasaran Malaysia.