Artikel

KPM Cadang Wajibkan Kanak-Kanak 6 Tahun Masuk Tahun 1 – Mulai 2029

Seperti yang umum sedia maklum, sesi persekolahan 2027 akan memperlihatkan lembaran sistem pendidikan Malaysia baharu berikutan pelarasan Tahun 1 bagi usia 6 tahun. Dan bertepatan dengan komitmen itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bercadang wajibkan kemasukan Tahun 1 untuk usia 6 tahun ini mulai 2029. 

Sasaran itu dijangka dapat dicapai dalam tempoh 3 tahun ini – dengan KPM optimis memastikan kapasiti guru, keperluan kurikulum dan prasarana pendidikan dapat disediakan sebelum dasar tersebut diwajibkan.

Selain memenuhi kekuatan tersebut, kementerian turut memiliki beberapa pendekatan lain dalam memenuhi penempatan murid sekolah – ini termasuklah pelaksanaan sistem persekolahan dua sesi, penyuraian murid ke sekolah mengikut bilangan pendaftaran yang lebih rendah berdasarkan lokasi dan memastikan silibus pengendalian murid mencapai sasaran yang ditetapkan.

Biarpun KPM memiliki matlamat sedemikian, namun untuk mewajibkan dasar ini – keperluan meminda Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) perlu dilaksanakan. Setakat ini kemasukan Tahun 1 untuk usia 6 tahun masih diberi kelonggaran dan berdasarkan rekod seramai 73,498 permohonan melibatkan usia 6 tahun telah diraih oleh KPM tatkala 418,151 permohonan adalah usia 7 tahun.