AI Malaysia hari ini mengumumkan pelantikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fave Asia Technologies Arzumy Md Yusof, sebagai CEO baharunya berkuat kuasa serta-merta. Langkah strategik ini diambil bagi memperkukuh pelaksanaan agenda kecerdasan buatan (AI) negara ke arah merealisasikan aspirasi Negara AI 2030.
Menurut agensi peneraju AI negara di bawah Kementerian Digital itu, pelantikan berkenaan menandakan fasa baharu dalam pembangunan organisasinya. Kepimpinan baharu ini disasarkan dapat mempercepatkan lagi pelaksanaan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030, di samping memperluas jaringan kerjasama strategik antara pihak kerajaan, industri, akademik, dan masyarakat.
Lantikan Arzumy ini dilihat berupaya membawa kecekapan kepada operasi selaras dengan latar belakangnya yang berpengalaman selama lebih 20 tahun dalam arena teknologi kepimpinan perniagaan, serta pembangunan organisasi. Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Teknologi di Fave Group iaitu sebahagian daripada Pine Labs, selain dikenali sebagai salah seorang peranan penting disebalik operasi Billplz dan Plato.