Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bangko Sentral ng Pilipinas (BSP) kini telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dalam mewujudkan rangka kerja kerjasama dalam bidang perbankan pusat dan pembangunan sektor kewangan.
MoU ini menandakan komitmen rasmi kedua-dua bank pusat untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk kewangan Islam, jalinan pembayaran rentas sempadan, transaksi mata wang tempatan, serta inovasi dan pendigitalan kewangan. Dengan kesepakatan itu, MoU ini akan membolehkan BNM dan BSP memperkukuh keutamaan bersama, saling belajar antara satu sama lain, meneroka peluang baharu dan menangani cabaran yang sedang muncul secara bersama.
Selain bekerjasama untuk memberikan manfaat kepada ekonomi negara masing-masing, kedua-dua bank pusat juga menyasarkan untuk meluaskan rangka kerja ini kepada kerjasama yang bermakna ke arah integrasi kewangan serantau yang lebih mendalam.