Kerajaan Malaysia hanya dijangka mula menerima kutipan hasil pertama daripada pelaksanaan Cukai Minimum Global (GMT) pada kadar 15% selepas Jun 2027 ini.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada sidang Parlimen hari ini, meskipun dasar cukai tersebut sudah berkuatkuasa bagi tahun kewangan yang bermula pada atau selepas 1 Januari 2025, garis masa penerimaan hasil itu adalah selaras dengan peraturan pemfailan antarabangsa di bawah GloBE Rules Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Di bawah peraturan semasa, kumpulan syarikat multinasional (MNE) yang terlibat diberikan tempoh sehingga 18 bulan selepas tamat tahun kewangan pertama pelaksanaan untuk mengemukakan penyata maklumat (GloBE Information Return) serta penyata cukai tambahan (Top-up Tax Return). Bagi syarikat yang menutup tahun kewangan pada 31 Disember 2025, tarikh akhir pemfailan dan pembayaran adalah selewat-lewatnya pada 30 Jun 2027, sekali gus menjadikan kutipan sebenar hanya dapat direkodkan oleh kerajaan pada separuh kedua tahun 2027.
Untuk rekod, GMT menyasarkan syarikat MNE yang mencatatkan hasil pendapatan tahunan disatukan sekurang-kurangnya €750 juta (sekitar RM3.5 bilion) bagi memastikan kumpulan syarikat gergasi ini membayar kadar cukai efektif minimum 15%. Pelaksanaan menerusi instrumen Cukai Tambahan Domestik (DTT) dan Cukai Tambahan Multinasional (MTT) itu turut membolehkan Malaysia mengekalkan hak kutipan cukai ke atas keuntungan operasi di dalam negara, berbanding membiarkan hasil cukai berkenaan dikutip oleh negara induk syarikat terbabit.