Artikel

Hasil Syarikat Induk Anakku Susut 14% – Kesan Permintaan Pengguna Yang Rendah

Syarikat induk Anakku, iaitu Asia Brands Berhad kini memperlihatkan penyusutan hasil hampir 14% kepada RM65.24 juta bagi tempoh 6 bulan berakhir 30 September lalu, berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Mengikut makluman kepada Bursa Malaysia, penurunan jualan ini didorong oleh permintaan pengguna yang lebih perlahan serta pelaksanaan promosi diskuan yang lebih tinggi dilakukan bagi merangsang aliran jualan kumpulan. Situasi ini menuntut pelarasan operasi dan pendekatan yang lebih berdisplin untuk memacu kestabilan, keuntungan dan nilai jangka panjang jenama di pasaran.

Kumpulan turut dapati sentimen perbelanjaan pengguna terkesan susulan tekanan kos sara hidup dan langkah pembaharuan fiskal yang dilakukan pada pasaran semasa. Namun Asia Brands kekal optimis prestasi jualan dapat diimbangi semula menerusi permintaan musim perayaan pada suku hadapan, yang juga akan disokong usaha dalam menambahbaik sistem logistik, pengedaran, pendigitalan dan komersial.

Selain Anakku, operasi Asia Brands turut meliputi jenama pakaian dalam wanita seperti Audrey, Lilian dan Cottonshop di samping turut memegang lesen pengedaran barangan kanak-kanak Disney serta pakaian kasual sukan jenama Antioni.