Selari dengan pemerkasaan teknologi semasa, Maybank bersama Etiqa Life Insurance kini telah melaksanakan ujian dagangan pertama di Malaysia melibatkan sekuriti kerajaan menggunakan deposit token. Projek rintis di bawah inisiatif Digital Asset Innovation Hub (DAIH) Bank Negara Malaysia (BNM) ini menggabungkan teknologi rantaian blok dengan infrastruktur kewangan konvensional bagi membolehkan proses pembayaran dan penyerahan aset secara delivery-versus-payment (DvP) dilakukan secara serentak dan boleh dilaras.
Pelaksanaan ini dilihat sebagai suatu langkah penting dalam mengukuhkan aliran kewangan rentas sempadan serta menyokong integrasi ekonomi digital di rantau ASEAN. Dan sepanjang ujian tersebut, Maybank dijelaskan bertindak selaku pemantau kepada wang tunai serta aset sekuriti yang terlibat bagi memastikan keselamatan transaksi terjamin.
Melangkah ke hadapan, Maybank merancang untuk memperluaskan infrastruktur digitalnya bagi menyokong lebih banyak aplikasi komersial seperti bon bertoken, deposit bertoken, dan aset digital lain. Perkembangan ini menyusul selepas kejayaan bank tersebut terlibat dalam penerbitan sukuk bertoken pertama negara bersama Khazanah Nasional Berhad pada awal tahun ini.
Secara ringkas, deposit token ialah perwakilan digital bagi wang deposit (Ringgit Malaysia) di bank yang berada di atas rangkaian rantaian blok terkawal selia. Pendekatan ini membolehkan penyelesaian lebih pantas serta automasi pelaksanaan syarat transaksi berdasarkan aturan yang telah ditetapkan tanpa bergantung sepenuhnya kepada pemprosesan manual.