Artikel

ZUS Coffee, Setel Dan 99 Speedmart Diiktiraf Antara Pemacu Transaksi Digital Negara

Payments Network Malaysia (PayNet) hari ini mengiktiraf pelbagai organisasi yang menerajui kemajuan pembayaran digital negara menerusi majlis Malaysian e-Payments Excellence Awards (MEEA) 2026. 

Antara jenama peniaga terkemuka yang berjaya meraih pengiktirafan di bawah kategori Merchant e-Payments Excellence Awards ialah Zuspresso (ZUS Coffee) bagi sektor Makanan dan Minuman, Setel Ventures (Setel) bagi kategori Dompet Digital dan Pembayaran Digital, serta 99 SpeedMart bagi sektor Barangan Runcit dan Pasar Raya. Pengiktirafan ini meraikan peranan penting peniaga dalam menawarkan pilihan pembayaran nirtunai (tanpa tunai) yang pantas dan mudah diakses kepada pengguna dalam urusan seharian.

Selain peniaga runcit, MEEA 2026 turut mengiktiraf institusi kewangan dan penyedia perkhidmatan pembayaran utama negara. RHB Bank dan ShopeePay Malaysia masing-masing memenangi anugerah utama E-Payments Excellence Award bagi kategori bank dan bukan bank, manakala Maybank serta TNG Digital meraih Acquirer Excellence Award. Turut diraikan ialah jenama besar lain seperti Shopee, CelcomDigi, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Shell, 7-Eleven, J&T Express dan MR.DIY dalam kategori masing-masing.

Pencapaian ini dilihat selari dengan lonjakan ketara penggunaan pembayaran digital di Malaysia apabila PayNet merekodkan pemprosesan sebanyak 8.4 bilion transaksi sepanjang tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak 37% berbanding tahun sebelumnya. Transaksi DuitNow QR rentas sempadan turut mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dengan mencapai 29.7 juta transaksi pada 2025, meningkat 2.5 kali ganda berbanding tahun sebelumnya.