Selari dengan pembukaan Hab Inovasi Mastercard Asia Pasifik (ICoE) yang berpangkalan di Singapura, kumpulan kini optimis untuk menambah lebih 250 tenaga profesional bagi menyokong operasinya di Singapura menjelang 2029, sekali gus menghubungkan kepakaran dan maklumat digital merentasi lebih 40 pasaran serantau.

Setakat ini, lebih 55 tenaga profesional telah pun bertugas di hab berkenaan bagi membantu rakan strategik kumpulan memenuhi permintaan serta meneroka pengalaman digital baharu bersama pengguna. Hari ini, Rnggt bersama rakan media serantau berpeluang menyaksikan sendiri fasiliti pintar seluas lebih 7,200 kaki persegi itu. Hab ini menghimpunkan kepakaran dalam segmen kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, pengalaman pengguna, dan pembuatan prototaip pantas bagi mengubah idea berpotensi menjadi penyelesaian dunia sebenar dengan lebih cekap.
Berdasarkan tinjauan Rnggt, terdapat empat ruang inovasi utama yang tersedia di fasiliti ICoE ini. Ia bermula dengan Pusat Kecemerlangan AI yang bertindak memajukan penyelesaian AI bertanggungjawab bagi menjadikan perdagangan lebih selamat, pintar, dan intuitif termasuk aplikasi dalam perdagangan beragen (agentic commerce) serta pencegahan penipuan (scam).

Ia diikuti oleh Pusat Gabungan yang menghimpunkan kepakaran merentasi keselamatan siber, penipuan, dan keselamatan fizikal untuk mengenalpasti risiko baharu, menyelaras usaha tindak balas, serta memperkukuh daya tahan di seluruh ekosistem. Ruang ketiga pula ialah Pusat Pengalaman Mastercard yang berfungsi sebagai platform imersif untuk meneroka teknologi dan potensi baharu bagi penyelesaian rakan perniagaan. Seterusnya, Ruang Pencipta (Makerspace) menyediakan persekitaran praktikal untuk membina prototaip pantas, menguji, dan memperhalusi idea, sekali gus memendekkan perjalanan daripada konsep kepada realiti.

Pembukaan ICoE di Singapura ini dilihat mampu merapatkan jurang antara eksperimen teknologi dan penerimagunaannya dalam kalangan perniagaan. Selaras dengan jangkaan njelang tahun 2030, lebih daripada satu dalam 10 pembeli dalam talian akan menggunakan ejen AI secara rutin untuk membuat pembelian bagi pihak mereka, manakala nilai antara AS$3 trilion hingga AS$5 trilion dalam perdagangan pengguna global berkemungkinan dipengaruhi atau dikendalikan oleh AI beragen.