Sekiranya institusi pengajian tinggi (IPT) gagal melaporkan status pelajar antarabangsa yang berdaftar yang didapati hilang atau tidak dapat dikesan. IPT berkaitan kini dilaporkan boleh disenaraihitam dari pengambilan pelajar antarabangsa kelak.
Kenyataan ini menurut Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) – ia tidak sekadar memastikan setiap IPT mengambil tanggungjawab mereka selaku pentadbiran pendidikan yang terlibat tetapi ini langkah untuk menjejaki modus operandi yang digunakan warga asing untuk menetap di Malaysia dan menyalahguna pas pelajar mereka.
Setakat Julai lalu, mengikut laporan BH ini terdapat seramai 159,138 pelajar antarabangsa direkodkan berdaftar di institusi pengajian awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di Malaysia berdasarkan data rasmi Sistem Pengumpulan Data KPT (MyMoHES) dan kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Oleh itu, semua IPT terlibat perlu mengambil tanggungjawab bersama dengan melaporkan kepada pihak JIM jika merekodkan sebarang kehilangan pelajar antarabangsa. Langkah ini turut akan disokong bersama KPT dengan mengadakan naziran serta pemantauan berkala bagi menjejaki status warga asing yang diluluskan pas pelajar.