Artikel

Malaysia Airlines: Tiada Perbincangan Rasmi Kerajaan Untuk Serap Pasaran Domestik AirAsia

Malaysia Airlines memaklumkan tiada sebarang perbincangan rasmi diadakan bersama kerajaan berhubung cadangan mengambil alih bahagian pasaran domestik AirAsia Group. Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Kapten Nasaruddin A Bakar, pihaknya juga tidak menerima sebarang permintaan rasmi mahupun membincangkan soal pengambilalihan pesawat milik syarikat penerbangan tambang rendah tersebut.

Penjelasan yang dikongsikan pada acara Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA) hari ini sekali gus menepis laporan terdahulu yang mendakwa kerajaan telah menghubungi syarikat itu bagi menyerap laluan domestik AirAsia. Namun pihaknya mengakui sebagai syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines tetap bertanggungjawab memastikan kesalinghubungan penerbangan di dalam dan luar negara sentiasa terjamin.

Kenyataan itu turut selari dengan penegasan peneraju AirAsia, Tony Fernandes sebelum ini bahawa operasi AirAsia kekal mampan dengan pegangan tunai melebihi RM1 bilion, serta tidak memohon sebarang pakej penyelamat daripada kerajaan meskipun berdepan tekanan kos bahan api dan pengurangan kapasiti tempat duduk.