Malaysia merekodkan sebanyak 277,576 kelahiran hidup bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun 2026, merangkumi 94,807 bayi pada suku pertama, 90,726 bayi pada suku kedua, dan terkini 92,043 bayi pada suku ketiga.
Berdasarkan data Perangkaan Demografi Malaysia Suku Tahun Ketiga 2026 angka bagi suku ketiga ini menunjukkan penurunan sebanyak 7.8% berbanding 99,786 kelahiran yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Secara keseluruhan, trend tiga suku berturut-turut ini memperlihatkan penyusutan sebanyak 4.26% berbanding 289,912 kelahiran bagi tempoh sama pada 2025.
Berdasarkan pecahan daripada 92,043 jumlah kelahiran hidup yang direkodkan, seramai 47,143 adalah bayi lelaki manakala 44,900 adalah bayi perempuan, dengan nisbah jantina pada angka 105 bayi lelaki bagi setiap 100 bayi perempuan. Dari sudut pecahan etnik warganegara bagi kumpulan bayi baharu lahir ini, majoritinya diterajui etnik Melayu sebanyak 67.2%, diikuti oleh Bumiputera Lain (14.2%), Cina (7.7%), India (3.8%), dan baki 7.1% daripada lain-lain kategori.
Penyusutan kadar kelahiran ini turut bergerak seiring dengan perkembangan populasi keseluruhan negara yang kini mencecah 34.4 juta penduduk – iaitu peningkatan sebanyak 0.5% berbanding 34.3 juta pada suku ketiga 2025.
