Artikel

Pesakit MediAsas Teras Perlu Bayar Tambahan 20% Ko-Insurans – Jika Guna Hospital Luar Rangkaian

Seperti yang umum sedia maklum, kerajaan kini sedang melaksanakan fasa rintis bagi menilai keupayaan MediAsas iaitu perlindungan kesihatan mampu-milik serendah RM60 yang tersedia kepada rakyat Malaysia. Yang mana akses berpotensi dibuka kepada umum mulai Januari 2027 – merangkumi pelan MediAsas Teras (Asas) dan MediAsas Fleksi.

Biarpun membawa konsep mampu-milik, berdasarkan perincian skim ini terdapat potensi pesakit MediAsas untuk pelan asas (MediAsas Teras) menanggung kos tambahan 20% ko-insurans atau ko-takaful sekiranya mereka mendapatkan rawatan di hospital yang tidak mematuhi syarat skim tersebut.

Amaun 20% ko-insurans ini dihadkan kepada maksimum RM3,000 bagi setiap kes Hilang Upaya. Ini bermaksud, tidak kira seberapa tinggi bil di hospital luar rangkaian tersebut, bahagian 20% yang perlu dibayar pesakit tidak akan melebihi RM3,000 per kes.

Buat pengetahuan umum, Penyedia Dalam Rangkaian Pilihan adalah hospital dan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan yang disenaraikan dari semasa ke semasa oleh ProtectHealth  atau mana-mana entiti lain yang diberi kuasa oleh Kerajaan Malaysia, untuk menyediakan perkhidmatan perubatan dibawah MediAsas.

Tatkala, Penyedia Luar Rangkaian pula adalah hospital dan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan lain yang tidak termasuk dalam senarai Penyedia Dalam Rangkaian Pilihan. Namun MOF menegaskan pada sidang Parlimen, perihal ko-insurans tersebut masih dalam kajian pada pelaksanaan MediAsas. Keputusan muktamad berhubung isu itu masih diteliti berikutan ketika ini skim di fasa rintis.