Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya — demikian gambaran ketegangan diplomatik yang melanda hubungan Malaysia dan Taiwan susulan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berhubung Dasar Satu China (One China Policy).
Dalam satu wawancara bersama media Al Jazeera yang disiarkan pada 16 Ogos 2026 lalu, PM Anwar menyatakan bahawa Malaysia melihat Taiwan sebagai sebahagian daripada China, namun beliau turut menambah bahawa Malaysia sentiasa menyokong penyelesaian isu kedua pihak ini dijalankan secara aman.
Rentetan kenyataan tersebut, pentadbiran Taiwan bertindak menangguhkan rundingan pelaburan bersama Malaysia kerana melihat kenyataan itu seolah-olah mewajarkan prinsip Beijing untuk menggunakan kekerasan dalam menyatukan Taiwan pada masa hadapan. Sudut pandang ini dikhuatiri berpotensi menjejaskan keyakinan syarikat-syarikat Taiwan untuk terus melabur di Malaysia. Lanjutan daripada pertelingkahan ini, muncul persoalan utama dalam kalangan masyarakat: Apakah sebenarnya status Taiwan berhubung Dasar Satu China dan impaknya terhadap ekonomi Malaysia?
Bagaimana China Dan Taiwan Terpisah?
Perpisahan antara China dan Taiwan berakar daripada Perang Saudara China antara Parti Nasionalis (Kuomintang/KMT) pimpinan Chiang Kai-shek dan Parti Komunis China (CCP) pimpinan Mao Zedong.
Konflik ini tercetus akibat perebutan kuasa dan jurang ideologi yang melampau antara KMT yang disokong golongan elit dengan CCP yang memperjuangkan nasib petani miskin, sebelum ketegangan bertukar menjadi peristiwa berdarah berikutan “Pembersihan Shanghai 1927” apabila KMT membunuh ribuan ahli CCP.
Selepas Perang Dunia Kedua tamat pada tahun 1945, persaingan kedua-dua pihak meletus semula menjadi perang terbuka sehingga Parti Komunis berjaya menguasai tanah besar dan menubuhkan Republik Rakyat China (PRC) di Beijing pada 1 Oktober 1949, manakala Chiang Kai-shek bersama 2 juta pengikutnya melarikan diri merentasi Selat Taiwan untuk memindahkan kerajaan Republik China (ROC) ke Taipei.
Namun landskap diplomasi berubah apabila PBB meluluskan Resolusi 2758 pada tahun 1971 untuk menyerahkan kerusi rasmi tersebut kepada PRC, disusuli Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1979 yang memindahkan pengiktirafan diplomatik dari Taipei ke Beijing. Maka bermula tahun 1980-an, Taiwan bertukar daripada pemerintahan autoritarian kepada sebuah negara demokrasi moden yang mempunyai perlembagaan, presiden, tentera, dan mata wang sendiri — membolehkannya beroperasi sebagai entiti berdaulat secara de facto walaupun terasing daripada hubungan diplomatik rasmi dengan majoriti negara dunia.
Memahami Dasar Satu China (One China Policy)
Dasar Satu China merupakan pengiktirafan diplomatik terhadap pendirian Beijing bahawa hanya wujud satu kerajaan China di pentas antarabangsa.
Tetapi, wujud perbezaan halus antara Dasar Satu China yang diamalkan negara luar dengan Prinsip Satu China yang dipegang Beijing. Di bawah Prinsip Satu China, Beijing menegaskan bahawa Taiwan adalah bahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada China dan mesti disatukan semula dengan tanah besar.
Sebaliknya, Dasar Satu China yang diamalkan negara seperti AS hanya mengiktiraf pendirian Beijing secara diplomatik tanpa menyokong mutlak tuntutan kedaulatan tersebut, sekali gus membolehkan AS mengekalkan hubungan tidak rasmi yang kukuh serta meneruskan penjualan senjata bagi tujuan pertahanan Taiwan. Syarat memutuskan hubungan rasmi ini telah mengakibatkan pemencilan diplomatik Taiwan daripada pelbagai organisasi serta komuniti antarabangsa.
Impak Ke Atas Hubungan Ekonomi Dan Pelaburan Malaysia
Tindakan Taiwan menangguhkan rundingan pelaburan bersama Malaysia dilihat boleh memberi tekanan kepada landskap ekonomi tempatan, terutamanya dalam sektor perdagangan dan teknologi. Berdasarkan data Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Taiwan menduduki tempat ke-4 dalam kalangan rakan dagang terbesar Malaysia pada tahun 2025 dengan nilai perdagangan barangan mencatatkan jumlah yang sangat signifikan iaitu mencecah RM233.02 bilion.
Di sebalik keputusan penangguhan mesyuarat pelaburan tersebut, Taipei dilaporkan masih mengekalkan saluran komunikasi dan berharap kerajaan Malaysia dapat mengakui hubungan pelaburan erat serta kepercayaan bersama yang telah lama terjalin, sekali gus membuka ruang untuk menyambung semula rundingan ekonomi tersebut pada masa hadapan.