Artikel

Inflasi Kesihatan Naik 3.0% Pada 2025 – Antaranya Kesan Lonjakan Kos Insurans

Selain inflasi utama, teras – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kini tampil dengan pendedahan data Indeks Harga Kesihatan (IHK) iaitu penanda aras kepada pengukuran perubahan harga barang dan perkhidmatan berkaitan kesihatan yang dibelanjakan oleh isi rumah di peringkat Malaysia. Dan ternyata tahun 2025 memperlihatkan inflasi kesihatan naik 3.0% berbanding 1.3% pada 2024.

Peningkatan ketara ini antaranya berpunca daripada segmen perbelanjaan Insurans berkaitan kesihatan yang melonjak tinggi sehingga 9.1% pada tahun 2025, selepas mencatatkan kadar 0.0% pada tahun 2024.

Selain perkhidmatan insurans, kategori Ubat yang menyumbang dalam IHK iaitu sebanyak 38.9% dengan kenaikan 2.8% pada tahun 2025 (2024: 2.2%). Kenaikan ini digerakkan terutamanya oleh subkelas perbelanjaan Ubat-ubatan, vaksin & penyediaan farmaseutikal lain serta Ubat-ubatan herba & produk homeopati, di mana kedua-duanya mencatatkan peningkatan masing-masing sebanyak 4.5% berbanding 2.2% dan 0.7% pada tahun sebelumnya.

Bagi kategori Peralatan Kesihatan pula, ia menunjukkan kadar kenaikan 1.1% pada tahun 2025 berbanding 0.6% pada tahun 2024. Peningkatan ini didorong oleh kelas perbelanjaan Produk Perubatan (1.3%), terutamanya daripada subkelas Produk diagnostik perubatan yang mencatatkan kenaikan 1.6% berbanding 0.3% pada tahun sebelumnya. Secara keseluruhan, peningkatan dalam ketiga-tiga kategori ini memberikan cerminan jelas terhadap trend perubahan kos kesihatan di Malaysia.