Artikel

MBSB Bank, Wise Kini Bolehkan Pengguna Pindah Sehingga RM150,000 Sehari Ke Luar Negara

Seiring dengan peningkatan keperluan masyarakat tempatan terhadap perkhidmatan kewangan antarabangsa, MBSB Bank dengan kerjasama Wise kini membolehkan pengguna melaksanakan pemindahan wang luar negara sehingga RM150,000 sehari. Kemudahan ini merangkumi 20 mata wang utama global termasuk Dolar AS (USD), Pound Sterling Britain (GBP), Euro (EUR), dan Dirham UAE (AED).

Kemudahan ini ditawarkan menerusi perkhidmatan Global Easy Transfer (GET) iaitu penyelesaian pemindahan antarabangsa sokongan bank di Malaysia yang dikuasakan oleh infrastruktur Wise. Melalui aplikasi perbankan digital MBSB Bank iaitu M Journey, pengguna kini boleh menghantar wang ke luar negara secara serta-merta, menjejaki status transaksi secara masa nyata, serta menikmati kadar pertukaran wang yang lebih kompetitif.

Sejak mula diperkenalkan, perkhidmatan GET telah mencatatkan prestasi memuaskan dengan 90% daripada keseluruhan pemindahan berjaya diselesaikan dalam tempoh di bawah 1 minit. Lebih menarik lagi, melebihi 90% daripada jumlah transaksi tersebut disumbangkan oleh pengguna berulang. Pencapaian ini jelas membuktikan tahap kecekapan, kepantasan, dan kebolehpercayaan yang ditawarkan oleh perkhidmatan perbankan digital ini kepada para pembayar.

Dengan liputan perkhidmatan yang kini merangkumi 20 mata wang utama, inisiatif ini dijangka bakal merancakkan lagi aliran transaksi rentas sempadan di samping mempermudah urusan pembayaran antarabangsa bagi pengguna individu mahupun sektor perniagaan di Malaysia.

Ini senarai penuh mata wang terlibat pada GET – MBSB Bank dan Wise:

  1. Dolar AS (USD)
  2. Pound Sterling Britain (GBP)
  3. Dolar Australian (AUD)
  4. Dolar Singapura (SGD)
  5. Rupiah Indonesia (IDR)
  6. Euro (EUR)
  7. Baht Thailand (THB)
  8. Chinese Yuan (CNY)
  9. Korean Won (KRW)
  10. Indian Rupee (INR)
  11. Dolar Hong Kong (HKD)
  12. Peso Filipina (PHP)
  13. UAE Dirham (AED)
  14. Dolar New Zealand (NZD)
  15. Dolar Kanada (CAD)
  16. Dong Vietnam (VND)
  17. Taka Bangladesh (BDT)
  18. Rupee Sri Lanka (LKR)
  19. Rupee Pakistan (PKR)
  20. Rupee Nepal (NPR)