Memandangkan aktiviti pelaburan semakin berasaskan digital, taktik penipuan juga berkembang seiring dengan perjalanan pelabur. Berdasarkan data terkini, sebanyak 71% rakyat pernah berdepan ancaman penipuan dalam tempoh setahun, di mana 22% daripadanya melibatkan penipuan pelaburan di pasaran tempatan. Menyedari risiko yang kian meningkat ini, Moomoo hari ini mengumumkan penyertaannya dalam Global Anti-Scam Alliance (GASA), sekali gus menjadikan ia platform pelaburan digital dan wealth-tech pertama di Asia Tenggara yang menyertai pakatan global berkenaan.
Penyertaan Moomoo dilihat mengisi jurang penting dengan membawa perspektif platform pelaburan digital ke dalam perbincangan mengenai pencegahan penipuan (scam), perkongsian maklumat risikan, perlindungan pelanggan dan pendidikan awam.
Kemasukan ini membolehkan Moomoo menyumbang wawasan relevan daripada sudut ekosistem kewangan pelaburan. Pada masa sama, ia membolehkan kerjasama rapat dengan rakan pakatan yang mempunyai akses pada peringkat awal penipuan — bermula daripada hubungan pertama menerusi hantaran media sosial, panggilan telefon atau mesej, sehinggalah ke fasa transaksi pembayaran dan percubaan pemindahan dana.
Langkah strategik ini jelas mencerminkan komitmen Moomoo untuk memainkan peranan proaktif dalam membanteras penipuan pelaburan. Ia juga seiring dengan perkembangan pesat perniagaannya di Malaysia, yang mana Moomoo baru-baru ini merekodkan 3 juta muat turun aplikasi dan berjaya merasmikan cawangan fizikalnya yang ke-4 di Pulau Pinang pada Oktober lalu.
Selain Moomoo, kesepakatan di bawah GASA ini turut memperlihatkan penyertaan pemain industri kewangan yang lain seperti HSBC, OCBC, Standard Chartered, J.P. Morgan, Mastercard, Visa, Amazon, Google, Meta, TikTok serta penyedia telekomunikasi.