Artikel

Pelaksanaan Tahanan Di Rumah Najib Razak Ditangguhkan Sementara – AGC

Jabatan Peguam Negara (AGC) kini memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah Najib Razak ditangguhkan sementara – bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat.

Di bawah perintah yang dipekenan Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim pada 18 September lalu telah membolehkan Najib Razak untuk jalani hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk kepada penyelesaian denda RM50 juta dan pemtauhan syarat yang ditetapkan.

Namun, pelaksanaan tahanan di rumah tersebut ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran perundangan terhadap frasa syarat denda tersebut serta kesannya terhadap baki hukuman penjara bagi kes SRC International dan implikasinya terhadap kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Persoalan perundangan yang timbul melibatkan dua tafsiran utama, iaitu sama ada pembayaran denda RM50 juta hanya memenuhi komponen denda manakala hukuman penjara SRC International kekal berjalan sehingga 23 Ogos 2028, atau ia merupakan syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya di mana keseluruhan hukuman dianggap selesai. Keadaan ini turut melibatkan kesan undang-undang Order of Discharge on Payment of Fine bertarikh 6 November 2026 yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, serta status permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi kes 1MDB yang telah ditolak pada 14 Oktober 2026.

Memandangkan isu-isu yang dibangkitkan melibatkan persoalan perundangan yang kompleks, mempunyai implikasi terhadap titah pengampunan serta perintah mahkamah, dan merupakan situasi yang belum pernah dihadapi sebelum ini, AGC berpandangan bahawa penjelasan undang-undang yang jelas dan muktamad perlu diperoleh sebelum sebarang tindakan pelaksanaan selanjutnya diambil.