Artikel

Malaysia, Singapura Setuju Naikkan Kuota Teksi Rentas Sempadan Kepada 500

Bermula 16 November ini, Malaysia dan Singapura telah mencapai persetujuan untuk meningkatkan kuota lesen teksi rentas sempadan secara berperingkat sehingga mencapai 500 unit bagi setiap negara. Langkah ini diambil bagi memperkasakan lagi keterhubungan mobiliti serta perkhidmatan pengangkutan awam antara kedua-dua buah negara.

Peningkatan kuota ini jelas notis Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Singapura menyaksikan penyertaan dua penyedia perkhidmatan seru-pandu baharu, iaitu CDG Zig dan Kumpool. Kehadiran pengendali baharu ini dijangka memberi lebih banyak pilihan serta kemudahan akses pengangkutan yang lebih efisien kepada orang ramai.

Inisiatif penambahan had ini sekali gus berupaya merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara di samping memenuhi permintaan pengguna yang kian meningkat. Sehubungan dengan itu, senarai lengkap lokasi pengambilan dan penurunan penumpang akan dikeluarkan sejurus selepas diselaraskan bersama pihak berkuasa tempatan yang berkaitan.