Artikel

Aplikasi TikTok Shop Kini Diperkenalkan – Bantu Pengguna Lebih Fokus Berbelanja

Memahami terdapat pengguna yang lebih gemar memberi tumpuan pada satu segmen dalam satu-satu masa – ByteDance kini menyahut permintaan tersebut dengan memperkenalkan aplikasi TikTok Shop iaitu aplikasi berasingan daripada aplikasi induk TikTok. 

Secara mudahnya, para pengguna Malaysia kini boleh memuat turun aplikasi tersebut di Google Play mahupun App Store – dan sekiranya para pengapguna telahpun memiliki akaun TikTok semasa, akaun tersebut boleh dipautkan secara terus ke dalam aplikasi TikTok Shop ini. Maka paparan sejarah pembelian, transaksi akan terus tersedia di aplikasi baharu ini.

Pelaksanaan aplikasi secara khusus ini dilihat TikTok memiliki sasaran yang tinggi untuk meluaskan lagi kehadiran mereka dalam arena e-dagang Malaysia yang sekali gus menjadi pesaing kepada Shopee dan Lazada. Biarpun telah memperkenalkan aplikasi khusus, segmen TikTok Shop dilihat kekal tersedia pada aplikasi induk TikTok.

Buat pengetahuan umum TikTok Shop di Malaysia memiliki lebih 1.8 juta peniaga bersama lebih 17 juta pengguna aktif. Dan angka pengguna aktif ini berpotensi menjangkaui puluhan juta kelak dengan data lebih 100 juta carian produk direkodkan pengguna pada setiap hari.