Artikel

Malaysia Teliti ‘Chapter 11’ AS – Mahu Selamatkan Perniagaan Berpotensi

Ketidakupayaan sesebuah syarikat membayar hutang atau gagal menguruskan kewangan operasi dilihat tidak bermakna ia tiada masa depan dalam arena ekonomi. Menyedari kekangan yang dihadapi sebilangan perniagaan yang masih mempunyai potensi jangka panjang, Malaysia kini meneliti kerangka Chapter 11 dari Amerika Syarikat (AS) bagi menyokong pemulihan sektor korporat tempatan.

Untuk makluman, Chapter 11 merupakan sebahagian daripada Kod Kebankrapan AS yang membolehkan perniagaan dan individu menyusun semula kewajipan kewangan mereka sambil mengekalkan operasi harian biarpun berdepan tekanan hutang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said ketika berbicara di Forum on Asian Insolvency Reform (FAIR) 2026 hari ini menjelaskan, langkah ini berupaya mengekalkan potensi ekonomi di pasaran. Ini kerana tindakan pembubaran atau penggulungan syarikat yang terlalu awal boleh menjejaskan rantaian bekalan, mengakibatkan kehilangan pekerjaan melibatkan pekerja berkemahiran, serta menghapuskan nilai ekonomi sedia ada.

Pelaksanaan kerangka pemulihan seumpama Chapter 11 ini bakal membantu syarikat terjejas membina semula perniagaan tanpa mengikis kredibiliti mereka di pasaran. Namun, ditegaskan pendekatan ini sekali-kali tidak akan dijadikan alasan atau “kekebalan” untuk syarikat melepaskan diri daripada tanggungjawab kewangan mereka.

Mengulas lanjut, usaha ini disahkan masih di peringkat awal dan untuk tindakan semasa Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) telah diarah menilai kerangka bersesuaian, khususnya bagi membantu perniagaan kecil menguruskan beban hutang agar berupaya membantu mereka meluaskan operasi pada masa hadapan tanpa sebarang bebanan.