Artikel

Google Rancang Tubuh Institut Pusat Data Di Politeknik Terpilih – Selangor, Negeri Sembilan

Google kini merancang menubuhkan institut pusat data di politeknik terpilih di Selangor dan Negeri Sembilan. 

Bermula pada 2027, inisiatif ini bertujuan melatih dan menempatkan pencari kerja tempatan berlatar belakang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam jawatan berkaitan pelaksanaan dan operasi pusat data. Inisiatif ini dijelaskan akan menawarkan kurikulum selama 10 minggu yang dikendalikan oleh pakar industri, termasuk latihan amali menggunakan simulator pusat data fizikal yang disediakan oleh Google, bagi mempersiapkan calon untuk bertugas di tapak kemudahan berskala hiper.

Sepertimana tanggungjawab yang dilaksanakan pada kapasiti sumber air – Google juga merancang membiayai 100% kos tenaga elektrik yang digunakan oleh kampus pusat datanya serta kos infrastruktur langsung yang diperlukan untuk menyambungkan kampus berkenaan kepada grid, di samping mematuhi semua peraturan tempatan yang terpakai.

Malah pada tempoh yang sama Google turut merancang untuk melabur dalam inisiatif baharu berasaskan komuniti di Malaysia yang akan terus memperkukuh daya tahan grid dan memastikan tenaga kekal mampu milik, termasuk program yang mengurangkan bil elektrik isi rumah di negeri yang menempatkan infrastrukturnya.