Artikel

Lembaga Bebas Pantau MediAsas, Perlindungan Perubatan Serendah RM60 Buat Rakyat – Kini Dibentuk

Kerajaan telah mengambil langkah strategik dengan menubuhkan lembaga bebas bagi mengawasi serta memantau pelaksanaan pelan MediAsas menjelang peluasannya ke seluruh Malaysia pada penghujung Januari 2027.

Penubuhan lembaga ini diumumkan oleh Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Mengenai Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) untuk memastikan pentadbiran dan prestasi pelan berjalan teratur, melindungi kepentingan awam, serta menjamin kemampanan jangka panjang. Dipengerusikan oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Norma Mansor bersama barisan ahli yang berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk dasar awam, insurans, dan operasi hospital, lembaga ini turut disokong oleh kepakaran antarabangsa seperti Profesor Dr. Winnie Yip dari Harvard T.H. Chan School of Public Health serta penasihat teknikal Datuk Jessica Chew.

Menurut Menteri Kesihatan Dr. Dzulkefly Ahmad, penubuhan lembaga ini amat penting bagi menggabungkan perspektif sektor penjagaan kesihatan dan industri bagi mengurus kos perubatan dengan lebih berkesan serta menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan jangka panjang. Senada dengan itu, Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan menyatakan bahawa inisiatif ini meraih pelbagai sokongan di bawah Belanjawan 2027 termasuk pelepasan cukai pendapatan bagi caruman perlindungan perubatan dan peruntukan RM40 juta untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang akan memudahkan akses kepada perlindungan perubatan asas.

Peralihan fasa ini dijangka mampu meringankan beban kewangan rakyat serta menjamin perlindungan yang lebih inklusif untuk semua.