Artikel

TNB, IOI Corp Dan Konsortium 12 PMKS Bangunkan Projek Solar 500MW Di Negeri Sembilan

Tenaga Nasional Bhd (TNB) menerusi anak syarikatnya, TNB Renewables (TRe) telah memeterai perjanjian usahasama dengan Luminous Aspect Sdn Bhd anak syarikat IOI Corporation dan sebuah konsortium 12 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) iaitu CSP 500MW bagi tujuan membangunkan projek kuasa tenaga solar berkapasiti 500MW yang turut dilengkapi sistem storan bateri 250MW/1,000MWh di Bahau, Negeri Sembilan.

Di bawah skim Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), projek ini akan dikendalikan menerusi Bahau Energy Ventures Sdn Bhd dengan pemilikan ekuiti 70% oleh TRe, 25% oleh Luminous Aspect, dan 5% oleh konsortium PKS.

Dari sudut struktur pembiayaan, ketiga-tiga rakan kongsi ini memperuntukkan jumlah pelaburan ekuiti gabungan maksimum sehingga RM606.2 juta, di mana TNB menyuntik RM424.4 juta, IOI Corp RM151.5 juta, dan CSP 500MW RM30.3 juta. Keseluruhan projek dijangka dibiayai menerusi gabungan ekuiti (20%) dan pinjaman (80%), walaupun susunan akhir pembiayaan masih belum dimuktamadkan. Menerusi pembahagian peranan, TRe akan mengetuai aspek pembangunan dan perolehan projek, manakala IOI Corp bersama konsortium PKS berpeluang menyertai kerja-kerja pembinaan serta pemasangan tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Langkah strategik ini sejajar dengan aspirasi TNB untuk memperluaskan portfolio perniagaan tenaga boleh baharu dan menjana pulangan jangka panjang daripada pembekalan elektrik hijau. Walaupun usaha sama ini tidak memberi kesan ketara terhadap pendapatan, aset bersih, mahupun paras hutang TNB bagi tahun kewangan semasa, sumbangan kewangan masa depannya akan bergantung kepada kos akhir dan tarikh projek mula beroperasi.