Artikel

Malaysia Mahu Perluas Guna Mata Wang Tempatan, Ringgit – Dalam Perdagangan BRICS

Penyertaan Malaysia dalam platform kerjasama BRICS dilihat membuka peluang strategik untuk negara menggalakkan penggunaan mata wang tempatan seperti Ringgit dalam urusan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan. Langkah ini disifatkan mampu meningkatkan kecekapan urus niaga serta mengukuhkan daya tahan kewangan negara terhadap sebarang kejutan ekonomi luaran.

Pembaharuan ini juga adalah selari dengan usaha global untuk mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada mata wang utama dunia sepeti AS dolar.

Dengan komitmen ini jelas Kementerian Kewangan (MOF) pada notis Parlimen, berupaya mengurangkan kos transaksi dan risiko pertukaran asing dengan lebih berkesan. Urus niaga yang lebih aktif dalam mata wang negara-negara anggota BRICS bukan sahaja dapat meningkatkan kecairan pasaran, malah menyokong pembangunan infrastruktur pertukaran asing di peringkat serantau. Keadaan ini dapat memberikan peniaga dan pelabur tempatan lebih banyak fleksibiliti serta alternatif yang lebih cekap dalam menguruskan pendedahan kewangan antarabangsa mereka.

Bagi merealisasikan hasrat ini, Malaysia bersedia memperkukuh mekanisme sedia ada yang telah dibina bersama rakan dagang utama, seperti kerjasama penggunaan Renminbi dengan China serta Rangka Kerja Transaksi Mata Wang Tempatan (LCTF) bersama Indonesia dan Thailand. Memandangkan dominasi mata wang utama dunia masih dipengaruhi faktor struktur pasaran global, Malaysia optimis menambah baik infrastruktur pembayaran rentas sempadan yang diterajui oleh permintaan pasaran. Usaha berterusan ini bakal menyumbang ke arah pembentukan sistem kewangan antarabangsa yang lebih pelbagai, stabil, dan berdaya tahan.