Untuk memastikan peniaga terus memanfaatkan peluang perniagaan bersama akses digital – Shopee Malaysia kini mengumumkan kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk membantu peniaga di bawah rangkaian KUSKOP memanfaatkan pengguna atas talian di bawah Shopee Instant Mart.
Inisiatif bersama ini menggabungkan keupayaan kedua-dua pihak bagi memperkukuh ekosistem peruncitan tempatan. KUSKOP menerajui usaha mendekati para peniaga di lapangan dengan mengenalpasti perusahaan kecil dan koperasi yang layak, memudah cara proses penyertaan serta menyediakan bimbingan. Shopee pula memanfaatkan ekosistem digital dan rangkaian rakan penghantarnya bagi membolehkan peruncit ini menjangkau kumpulan pelanggan yang jauh lebih luas.
Melalui Instant Mart, peruncit yang mengambil bahagian boleh menawarkan produk yang tersedia dalam stok di kedai fizikal mereka, seperti barangan runcit dan bekalan perubatan, kepada pelanggan atas talian. Peruncit akan menyediakan pesanan, manakala rakan penghantar akan mengambil dan menghantar pesanan yang layak dalam tempoh 1 hingga 4 jam, tertakluk pada ketersediaan premis dan kawasan liputan perkhidmatan. Inisiatif ini menyediakan saluran jualan tambahan yang membolehkan peruncit mengembangkan perniagaan dengan memanfaatkan stok sedia ada. Pada masa yang sama, pengguna dapat menikmati akses yang lebih mudah dan pantas kepada barangan keperluan harian.
Buat pengetahuan umum, inisiatif ini dilancarkan awal tahun ini yang mana Shopee Instant Mart kekal terbuka kepada penyertaan kedai fizikal dan premis peruncitan yang memenuhi syarat asas program, seperti kriteria berat dan dimensi produk yang ditetapkan. Bagi maklumat lanjut mengenai Shopee Instant Mart dan cara untuk memulakan penyertaan, para peniaga boleh merujuk laman rasmi Shopee untuk perincian seterusnya.