Artikel

ECRL Dijangka Jana RM192 Juta Pada 2027 – Pacu Limpahan Ekonomi Pengguna Pantai Timur-Barat

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diunjurkan meraih hasil sebanyak RM192 juta daripada perkhidmatan penumpang pada tahun pertama perkhidmatannya iaitu pada 2027.

Berdasarkan kajian juruperunding pada tahun 2025 menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) di Parlimen angka tersebut dijangka terus meningkat secara konsisten kepada RM198 juta pada 2028 dan RM204 juta menjelang 2029, sejajar dengan peningkatan kadar kebergantungan pengguna terhadap mod pengangkutan awam merentasi negeri.

Bagi perkhidmatan kargo pula, hasil pengangkutan barangan diunjurkan mencecah RM68 juta pada tahun 2027 dan RM71 juta pada 2028, sebelum mencatatkan lonjakan ketara kepada RM214 juta pada tahun 2029. Namun, keseluruhan anggaran pendapatan ini kekal tertakluk kepada prestasi sebenar operasi di lapangan, termasuk volum pergerakan penumpang, jumlah muatan barangan, serta perkembangan permintaan pasaran semasa.

Secara keseluruhannya, pembinaan jajaran sepanjang 665 kilometer dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang ini untuk makluman melibatkan kos sebanyak RM52.43 bilion yang dibiayai melalui pinjaman berjangka China EXIM Bank (CEXIM), sukuk Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), serta peruntukan kerajaan MOT dan MOF. Walaupun penilaian kewangan adalah penting, ECRL difahami tidak hanya tertumpu kepada pulangan langsung semata-mata, sebaliknya bermatlamat memberi manfaat jangka panjang dan kesan limpahan ekonomi menerusi pengukuhan rangkaian logistik antara Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.