Selepas memanfaatkan kemudahan selama hampir 40 tahun, Malayan Banking Bhd (Maybank) dilaporkan sedang melaksanakan proses bidaan terbuka melalui Pernyataan Minat (Expression of Interest – EOI) bagi menjual bekas ibu pejabat ikonik 55 tingkatnya, Menara Tun Perak.
Menurut laporan The Edge, penawaran hartanah mercu di Jalan Tun Perak itu tidak memaparkan harga permintaan rasmi. Tetapi, berdasarkan Laporan Tahunan Maybank 2025, nilai bangunan berkenaan dilaraskan pada RM65.87 juta.
Pemerhati industri pula menganggarkan nilai jualan semasa bangunan tersebut boleh mencecah antara RM436 juta hingga RM654 juta berdasarkan kadar pasaran sekitar RM400 hingga RM600 sekaki persegi bagi keluasan ruang boleh disewa (NLA) 1.09 juta kaki persegi. Nilai berkenaan berpotensi melonjak sehingga RM1.09 bilion, penanda aras harga senarai melepasi RM1,000 sekaki persegi berikutan lokasinya yang strategik di teras bersejarah ibu kota.
Urus niaga pelupusan ini bagaimanapun tertakluk kepada perjanjian pajakan bersih tiga kali (triple-net lease) selama 10 tahun bersama Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang dimeterai pada 2022. Menerusi struktur ini, Maybank meraih pendapatan sewaan minimum RM12.1 juta setahun.
Sekiranya peralihan pemilikan aset ini berjaya, pembeli baharu bakal menikmati jaminan aliran pendapatan sewa bersih bagi baki tempoh pajakan selama 6 tahun lagi, sambil dikecualikan daripada tanggungan kos penyelenggaraan, cukai hartanah, dan insurans bangunan.