Kesan tindakan manipulasi status kewangan secara sengaja serta penyelewengan fakta dalam laporan kewangan eFishery, pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kini berdepan kerugian membabitkan pegangan 2.51% saham dalam syarikat tersebut yang bernilai RM163.4 juta.
Kementerian Kewangan (MOF) menerusi jawapan bertulis di Parlimen menjelaskan, keadaan itu berlaku biarpun KWAP telah melaksanakan proses penilaian pelaburan (due diligence) sewajarnya bersama juruaudit antarabangsa berdasarkan maklumat ketika itu – sebelum memuktamadkan tindakan melabur kepada eFishery.
Mengulas lanjut berhubung jumlah kerugian dan pemulihan, MOF memaklumkan bahawa proses pemulihan masih giat dijalankan dan jumlah kerugian penuh serta nilai keseluruhan yang dapat diperoleh semula hanya akan dapat ditentukan selepas proses tersebut dimuktamadkan sepenuhnya, di samping KWAP kekal optimis meneroka pelbagai saluran bersesuaian bagi memaksimumkan pemulihan nilai pelaburannya.