Sebagaimana yang diumumkan sebelum ini, Big Caring Group Bhd (BCG) bersama anak syarikatnya, kini melancarkan prospektus untuk tawaran awam permulaan (IPO) bersempena penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia, yang dijadualkan pada 19 November 2026.
Nilai penyenaraian ini untuk makluman dijangka sekitar RM8 bilion diikuti pengumpulan lebih RM2 bilion dengan RM637.8 juta untuk penggunaan kumpulan.
Menerusi langkah itu, Big Caring akan menawarkan sehingga 1.9 bilion saham biasa yang merangkumi terbitan awam sebanyak 590.5 juta saham biasa baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 1.3 bilion saham biasa sedia ada, masing-masing mewakili 8.0% dan 17.5% daripada saham biasa terbitan yang diperbesarkan.
Dan mengikut sasaran hasil yang dikumpulkan, sebanyak 4.7% diperuntukkan untuk penubuhan pusat pengedaran baharu dalam tempoh 36 bulan dari tarikh penyenaraian bagi memperluaskan kapasiti memandangkan pusat pengedaran sedia ada Kumpulan di Bukit Raja beroperasi pada kadar penggunaan 80.2% setakat 30 September 2026. Sebanyak 89.5% lagi akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank dalam tempoh 3 bulan dari tarikh penyenaraian, manakala baki 5.8% akan digunakan untuk yuran dan perbelanjaan penyenaraian.
Menariknya BCG turut optimis meluaskan empayar kumpulan dengan menyasarkan penambahan sehingga 50 cawangan pada 3 tahun hadapan. Setakat ini kumpulan memiliki 668 cawangan di seluruh Malaysia merangkumi BIG Pharmacy (350), Caring Pharmacy (232), Georgetown Pharmacy (52), Wellings (10), Ting Pharmacy (14) dan iCare Pharmacy (10).
Bergerak ke hadapan BCG telah mencapai kesepakatan bersama syarikat pengedaran Singapura untuk meluaskan jejak perkhidmatan ke pasaran antarabangsa.
