Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) memaklumkan pihaknya akan melaksanakan penambahbaikan keselamatan bagi aplikasi myASNB untuk tingkatkan pengalaman pengguna dalam arena pelaburan kumpulan.
Dan antara pembaharuan utama yang diperkenalkan ialah dasar Satu Peranti Berdaftar, di mana bermula bulan Disember 2026 – akses kepada aplikasi myASNB akan dihadkan kepada hanya satu peranti berdaftar pada satu-satu masa. Selain itu, ciri Kebenaran Transaksi Pihak Ketiga turut dilaksanakan, yang memerlukan kebenaran daripada pemegang unit terlebih dahulu bagi setiap transaksi pelaburan tambahan yang dilakukan oleh pihak ketiga.

Dengan perubahan aturan aplikasi itu, ASNB menjelaskan tarikh pelaksanaan rasmi serta maklumat lanjut mengenai ciri-ciri keselamatan ini akan diumumkan kelak. Usaha berterusan ini membuktikan komitmen ASNB dalam memastikan keselamatan aset dan maklumat peribadi pelabur sentiasa terpelihara di tahap yang optimum.