Bank Negara Malaysia (BNM) kini memaklumkan telah mengenakan penalti monetari pentadbiran (administrative monetary penalties, AMP) sebanyak RM276,000 masing-masing terhadap AmBank dan AmBank Islamic susulan gagal mengemukakan laporan nilai ambang tunai (CTR) kepada BNM dengan tempoh yang ditetapkan.
Ini melibatkan jumlah denda RM552,000 secara keseluruhan.
Di Malaysia, nilai ambang transaksi tunai semasa yang ditetapkan oleh BNM ialah RM25,000 dalam sehari.
Ini bermakna, jika seseorang individu atau syarikat membuat sebarang transaksi fizikal bernilai RM25,000 atau lebih dalam satu hari (sama ada secara sekali gus atau digabungkan dalam beberapa transaksi tunai pada hari yang sama),pihak bank diwajibkan menghantar Laporan Transaksi Tunai (CTR) kepada BNM.
AmBank selaku institus pelapor (RI) menurut notis BNM hari ini, seharusnya mengemukakan CTR kepada BNM dengan kadar segera. CTR untuk makluman adalah maklumat penting kepada BNM dan agensi penguatkuasaan undang-undang lain bagi membantu siasatan jenayah kewangan. Pengemukaan CTR dengan kadar segera juga mengurangkan risiko RI digunakan sebagai saluran aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan serta aktiviti jenayah lain.
Dan berdasarkan semakan, ketidakpatuhan ini berpunca daripada kelemahan dalam pelaksanaan teknologi berikutan pengawasan yang tidak mencukupi terhadap perubahan sistem.
Kesan denda tersebut, AmBank telah mengambil langkah-langkah pemulihan, termasuk pengemukaan CTR yang tidak dilaporkan kepada BNM, penambahbaikan terhadap prosedur operasi standard dan sistemnya serta pengukuhan rangka kerja kawalan dan pengawasan. Jumlah denda tersebut untuk makluman telahpun dilunaskan pada 22 September 2026 lalu.
Secara menyeluruh BNM menghendaki semua RI di pasaran untuk mengekalkan tahap komitmen yang tinggi dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan AML/CFT/CPF. BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan/atau penguatkuasaan yang sewajarnya jika terdapat mana-mana RI yang gagal memenuhi mana-mana keperluan undang-undang dan pengawalseliaan.