TikTok Shop Malaysia hari ini mengumumkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di bawah inisiatif #JomLokal merekodkan pertumbuhan jualan tahun ke tahun (YoY) sebanyak 140% semasa kempen 9.9 baru-baru ini. Pencapaian ini melepasi 3.5 kali ganda purata pertumbuhan platform berbanding rekod sebelumnya.
Prestasi memberangsangkan ini sejajar dengan lonjakan sokongan rakyat terhadap barangan tempatan,apabila 58% pengguna TikTok Malaysia kini memilih untuk berbelanja dengan perniagaan tempatan.
Peningkatan sokongan ini antaranya didorong oleh penemuan produk (discovery commerce) menerusi kandungan video dan siaran langsung (LIVE), dan bukannya sekadar bergantung pada carian konvensional.Perluasan akses platform TikTok ini sekali gus membantu peniaga tempatan menjangkau pasaran yang lebih luas melangkaui komuniti sedia ada, terutamanya bagi peniaga di kawasan luar bandar.
Selari dengan agenda memperkasakan pasaran tempatan, TikTok Shop turut memperuntukkan komitmen dana sehingga RM250 juta bagi tahun 2026 untuk terus menyokong ekosistem PMKS negara. Inisiatif ini bakal memanfaatkan kira-kira 400,000 peniaga dan pencipta kandungan tempatan menerusi rebat penghantaran,baucar serta sokongan promosi, sekali gus mengurangkan kos pemerolehan pelanggan baharu.