Artikel

Rakyat Malaysia Kini Boleh Berbelanja Guna DuitNow QR Di 5 Negara – Melalui Alipay+

Rakyat Malaysia kini boleh membuat pembayaran menggunakan DuitNow QR pada aplikasi perbankan tempatan di lima destinasi luar negara melibatkan China, Hong Kong, Korea Selatan, Filipina dan Laos melalui Alipay+.

Perluasan akses ini dicapai hasil kerjasama Payments Network Malaysia (PayNet) bersama Alipay+ iaitu dompet digital milik Ant International. Setakat ini antara 3 bank terawal yang menawarkan kemudahan ini ialah Maybank, CIMB Bank dan Hong Leong Bank sementara Bank Islam dijangka menyusul tidak lama lagi.

Untuk makluman umum, pelancaran ini merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang PayNet untuk memperluas ketersambungan pembayaran yang selamat dan saling boleh kendali ke luar Malaysia. Usaha ini selaras dengan visi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mewujudkan pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, cekap dan inklusif.

Secara menyeluruh ekosistem Alipay+ menghubungkan lebih 2 bilion akaun pengguna melalui lebih 50 rakan pembayaran antarabangsa, dengan lebih 150 juta peniaga di lebih 210 pasaran. Ekosistem ini turut merangkumi lebih 10 skim pembayaran kebangsaan seumpama PayNet. Dengan perluasan akses itu, ia dijangka memberi nilai tambah kepada ekonomi kedua negara. PayNet merekodkan hampir 30 juta transaksi rentas sempadan pada 2025, meningkat kira-kira 150% berbanding 2024. Transaksi yang melibatkan China menyumbang sebahagian besar daripada pertumbuhan tersebut.