Sejak tahun lalu, tindakan Malaysia untuk mengawalselia aktiviti penginapan jangka pendek (STRA) di pasaran tempatan dilihat semakin hampir mencapai penyelesaiannya – apabila memaklumkan garis panduan STRA tersebut kini sedang dimuktamadkan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum dibawa kepada pertimbangan Jemaah Menteri.
Draf tersebut dijelaskan akan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan, kebersihan, pengurusan operasi serta pematuhan perundangan kecil Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) selari di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757). Adanya panduan ini ia sekaligus akan membantu kerajaan negeri bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyelaraskan ekosistem STRA.
Malah dijelaskan premis STRA ini hanya boleh didaftarkan secara sah sebagai penginapan pelancongan setelah pemain terlibat berjaya meraih lesen operasi perniagaan bersama PBT berkaitan.
Ini bermakna setiap platform STRA seperti Airbnb, Agoda, iBilik atau sebagainya perlu pastikan kumpulan hos mereka patuhi keperluan perlesenan ini, susulan unit hartanah yang terlibat adalah di bawah pengendalian mereka. Sekiranya tidak memenuhi syarat yang ditetapkan kelak dan didapati hos terlibat tidak berlesen, maka senarai tersebut perlu diturunkan serta-merta untuk mengelak sebarang tindakan perundangan dikenakan.
Menerusi pematuhan itu seluruh operasi STRA dapat memenuhi piawaian pasaran dan menyumbang kepada ketenteraman awam dan keselamatan bersama komuniti di kawasan penginapan. Panduan ini dijangka akan menangani isu berbangkit seperti gangguan bunyi, isu tempat letak kenderaan serta kebimbangan keselamatan kesan aktiviti yang dijalankan premis STRA.