Artikel

Kerajaan Teliti Pinda Undang-Undang Syariah – Atasi Isu Bekas Suami Culas Bayar Nafkah

Kerajaan Malaysia kini merancang untuk menambah baik perundangan sedia ada bagi memudahkan Mahkamah Syariah mengambil tindakan tegas terhadap individu yang sengaja mengingkari perintah pembayaran nafkah kepada isteri dan anak-anak.

Meskipun pelbagai peruntukan dan perintah perundangan telah wujud, isu ini diakui masih dianggap sensitif untuk dibicarakan secara terbuka dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.

Jelas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli di Parlimen hari ini, mahkamah sebenarnya sudah mempunyai kuasa untuk memerintahkan pemotongan gaji, menyita dan menjual harta, mahupun memenjarakan pihak yang culas membayar nafkah. Namun langkah tersebut masih memerlukan perintah mahkamah yang berasingan dan tidak boleh dikenakan secara automatik.

Maka pihaknya di bawah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) kini berhasrat untuk menyelesaikan sekurang-kurangnya 75% kes nafkah yang tidak dibayar pada setiap tahun. Dan untuk merealisasikan matlamat itu, BSK kini sedang bekerjasama dengan agensi-agensi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk mengesan mereka yang gagal membayar nafkah.

Selain itu, JKSM turut meneroka pendekatan baharu untuk menambah baik bantuan kewangan sementara bagi keluarga yang terkesan menanti bayaran nafkah, termasuk menyalurkan bantuan pendahuluan yang tidak perlu dibayar balik oleh penerima.

Dalam masa sama, JKSM turut mencadangkan mekanisme semakan ketat bagi meneliti rekod pematuhan nafkah lampau. Menerusi cadangan ini, setiap lelaki beragama Islam yang memohon kebenaran berpoligami wajib mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Syariah, di mana pihak mahkamah akan menilai kemampuan serta rekod kewangan mereka dalam menanggung isteri dan anak-anak sedia ada.