Artikel

MOF Suntik RM1 Bilion Kepada UJSB, Pulihkan Aset Tabung Haji – Pada 2027

Tahun 2027 akan memperlihatkan suntikan RM1 bilion direalisasikan oleh Kementerian Kewangan (MOF) kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) – iaitu syarikat milik penuh diperbadankan MOF yang ditubuhkan untuk membantu memulihkan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi tindakan mengambilalihan dan pemulihan aset yang tidak berdaya saing.

Suntikan RM1 bilion ini jelas notis MOF kepada Parlimen, adalah bertujuan penebusan awal sukuk sekali gus memperkukuhkan aliran tunai LTH. Ini kerana sebelum ini peruntukan tersebut tidak dapat disediakan kerana mengutamakan perbelanjaan bagi menangani pandemik COVID-19. Maka komitmen ini diteruskan untuk menyokong UJSB memenuhi peranannya bersama TH untuk memulihkan aset secara berhemat.

Buat pengetahuan umum, pada 2018 UJSB telah mengambilalih aset TH bernilai RM9.7 bilion pada harga RM19.9 bilion. Perbezaan amaun pembelian RM10.2 bilion itu merupakan harga premium yang diberikan kepada TH bagi membantu memulihkan kewangan kumpulan tetapi menjadi beban kerugian melalui rosot nilai aset buat UJSB.

Ini bermakna, kos sukuk yang ditanggung UJSB merupakan pendapatan keuntungan terakru kepada LTH. Kedua-dua komponen ini merupakan penyumbang utama kepada kerugian terkumpul UJSB sebanyak RM13.20 bilion pada akhir 2025.

Kerugian terkumpul ini perlu dibezakan daripada prestasi operasi UJSB. UJSB secara konsisten mencatatkan keuntungan operasi sejak 2019, termasuk RM297 juta bagi tahun kewangan 2025. Nilai aset di bawah pengurusannya juga meningkat daripada RM9.7 bilion pada 2018 kepada RM11.61 bilion pada akhir 2025. Usaha pemulihan turut membolehkan syarikat perladangan yang kembali menjana keuntungan diserahkan semula kepada TH pada harga lebih rendah daripada harga pengambilalihan.