Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) kini berhasrat memendekkan tempoh konsesi dan menyerahkan semula 4 lebuh raya bertol di bawah pengurusannya – iaitu KESAS, LITRAK (LDP), SPRINT dan Terowong SMART kepada kerajaan pada tahun 2033.
Sasaran penyerahan ini adalah 5 tahun lebih awal daripada tempoh matang akhir sukuk yang dijadualkan selesai pada 2038. Setakat ini syarikat swasta tidak berasaskan keuntungan itu telah melangsaikan RM2.149 bilion hutangnya selepas membuat pembayaran kelapan bernilai RM513.8 juta pada 13 Oktober lalu, berbanding jumlah keseluruhan obligasi kewangan sebanyak RM7.935 bilion.
Buat pengetahuan, sepanjang peralihan pengurusan dijelaskan kadar tol bagi kesemua 4 lebuh raya berkenaan kekal dibekukan tanpa sebarang kenaikan. Langkah ini memberi penjimatan kumulatif sebanyak RM1.796 bilion kepada pengguna jalan raya sehingga Mac tahun ini, di samping mengelakkan kerajaan daripada membayar pampasan tol yang dianggarkan berjumlah RM1.929 bilion.
Secara purata, 4 lebuh raya tersebut mengutip kira-kira RM830 juta bayaran tol setahun daripada 1 juta pengguna harian, dengan RM630 juta diperuntukkan untuk bayaran sukuk manakala RM200 juta lagi digunakan bagi kos operasi.
Dengan sasaran penyerahan 4 lebuh raya lebih awal ini – kerajaan dijangka mempunyai pilihan sama ada untuk memansuhkan tol sepenuhnya atau mengenakan kadar tol terendah kepada pengguna bagi menampung kos penyelenggaraan pada masa hadapan.